Penyeludup ketum semakin nekad, guna laluan haram berhampiran pos kawalan sempadan
Adie Sufian Zulkefli
Mac 24, 2021 23:14 MYT
Mac 24, 2021 23:14 MYT
PADANG BESAR: Seolah-olah mencabar pihak berkuasa, penyeludup daun ketum kini bertindak lebih berani dengan menggunakan laluan haram berhampiran pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner, Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam kejadian 2.30 petang Rabu, tiga anggota PGA dari Batalion 3 yang membuat rondaan di kawasan berhampiran pos kawalan berkenaan menemui longgokan enam guni putih daun ketum.
Katanya, guni itu mengandungi sebanyak 210 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM6,000.
Difahamkan, penyeludup menunggu masa yang sesuai untuk menyeludup daun ketum berkenaan sebelum ia ditemui pasukan PGA.
"Mengesyaki longgokan guni berkenaan adalah untuk tujuan penyeludupan, anggota PGA kemudian menunggu dan membuat pemerhatian lebih kurang satu jam di kawasan berkenaan, namun tiada individu didapati tampil atau cuba menghampiri guni itu.
"Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.
"Kita percaya bekalan daun ketum itu cuba diseludup keluar ke Thailand memandangkan kawasan berkenaan adalah kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan sering digunakan penyeludup untuk menyeludup ketum," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Menurutnya, sepanjang tiga hari operasi bermula Ahad lalu, PGA Briged Utara Batalion 3 merampas 707 kg daun ketum yang dianggarkan bernilai RM20,910.
#ketum
#PGA
#sempadan Malaysia-Thailand
#sindiket
#semakin berani
#berhampiran pos kawalan
#penyeludupan
#Thailand