Penyeludup beralih kepada RON95, KPDN Pulau Pinang tahan lelaki tempatan

Bernama
Julai 20, 2024 08:40 MYT
Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi bahan api itu ke dalam kenderaan pikap jenis Toyota Hilux. - Gambar/ KPDN
NIBONG TEBAL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeleweng petrol RON95, selepas menahan seorang lelaki tempatan dalam serbuan ke atas sebuah stesen minyak menerusi Op Tiris 3.0 di sini, malam tadi.
Pengarah KPDN negeri S.Jegan berkata serbuan yang disertai empat anggota penguat kuasa, dibuat hasil risikan susulan menerima maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan bahan api itu di stesen minyak tersebut.
Beliau berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi bahan api itu ke dalam kenderaan pikap jenis Toyota Hilux.
"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan pikap itu kemudian menemukan sebuah tangki tambahan dan susulan itu, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
"Sejumlah 750 liter petrol dianggarkan bernilai RM1,537.50 dirampas selain menyita sebuah pikap, satu unit tangki tambahan, tiga keping resit belian dan sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM37,337.50," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jegan berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan usaha sedang dilakukan bagi mengenal pasti individu mahupun syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan ini, serta rantaian pengedaran bahan api petrol tersebut.
Beliau berkata tindakan pengkuatkuasaan tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang didapati terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
-- BERNAMA
#diesel subsidi #RON95 #penyeludup #kpdn