Penyelidikan unjur ketibaan pelancong di Malaysia melonjak hampir empat kali ganda pada 2023
Bernama
Januari 30, 2023 12:47 MYT
Januari 30, 2023 12:47 MYT
KUALA LUMPUR: Cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) mengunjurkan ketibaan pelancong di Malaysia melonjak hampir empat kali iaitu 9.6 juta orang pada 2023 daripada anggaran 2.5 juta pada tahun lepas.
Kenanga menjelaskan unjuran itu disokong oleh penyambungan semula perjalanan udara bagi urusan perniagaan dan pelancongan di seluruh dunia apabila pandemik COVID-19 berakhir, pembatalan semua kuarantin semasa ketibaan dan keperluan saringan di Malaysia mulai 1 Ogos, 2022 selain pembukaan semula China secara beransur-ansur.
"Pembukaan semula China secara beransur-ansur adalah positif untuk negara ini kerana berdasarkan rekod, pelancong China menyumbang kira-kira 12 peratus kepada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia," menurutnya dalam nota penyelidikan pada Isnin.
Bank pelaburan itu juga menambah, keadaan ini dijangka menyokong peningkatan permintaan pengendalian penumpang bagi Malaysia Airport Bhd (MAHB) pada 2023 dan saham itu dijangka mencatatkan jumlah pulangan dalam julat -5.0 peratus hingga 10 peratus, dengan harga sasaran RM7.
Mengenai prestasi kewangan, Kenanga memaklumkan pihaknya mengecilkan unjuran kerugian bersih MAHB bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 6.0 peratus dan menaikkan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2023 sebanyak 3.0 peratus.
Ini disokong oleh unjuran kenaikan pengendalian penumpang bagi tahun kewangan 2023 dan 2023 (masing-masing naik 15 peratus dan 9.0 peratus kepada 116 juta dan 126 juta), menurutnya.
Sementara itu, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd menyemak turun unjuran pemulihan trafik penumpang tahun kewangan 2023 kepada 85 peratus daripada 95 peratus sebelum ini.
Ia disebabkan oleh kembalinya pesawat Malaysia AirAsia (MAA) yang lebih perlahan, namun menjangkakan pertumbuhan lebih kukuh mulai 2024 dan seterusnya memandangkan syarikat penerbangan tempatan membina semula kumpulan pesawat mereka.
MIDF menjelaskan pemulihan trafik penumpang Malaysia dijangka disokong terutamanya oleh pengaktifan semula 50 peratus pesawat MAA yang masih belum menerima sijil kelayakan udara.
"Semakan turun ini disebabkan terutama oleh kembalinya pesawat operasi MAA yang lebih perlahan berbanding jangkaan yang tidak mencapai sasaran awal 65 pesawat menjelang akhir 2022," menurutnya dalam nota penyelidikan.
Oleh itu, MIDF mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor penerbangan susulan jangkaan masa depan yang lebih cerah apabila China meneruskan pembukaan semulanya.
"Kita dijangka melihat campuran penumpang antarabangsa yang bertambah baik tahun ini, yang akan membantu peserta penerbangan membina semula keuntungan, memandangkan mereka ialah penumpang yang mendatangkan hasil tinggi," tambahnya.
Cabang penyelidikan MIDF itu menurunkan saranannya ke atas MAHB kepada 'neutral' daripada 'beli', dengan harga sasaran RM7.45 di samping mengekalkan saranan 'neutral' ke atas Capital A dengan harga sasaran disemak pada 70 sen.
Pada 10.50 pagi, saham MAHB susut satu sen kepada RM7.25, manakala Capital A menambah 1.5 sen kepada 76.5 sen.
-- BERNAMA