Penyelidik yakin temui makam sebenar Merong Mahawangsa di Sungai Petani

Bernama
Julai 14, 2018 16:43 MYT
Kewujudan sebuah makam tua dengan sepasang nisan purba di Kampung Bukit Berangan, Kuala Muda di sini mungkin milik Sultan Mudzafar Shah I atau lebih dikenali sebagai Merong Mahawangsa yang terkenal melalui Hikayat Merong Mahawangsa. - BERNAMA
Kewujudan sebuah makam tua dengan sepasang nisan purba di Kampung Bukit Berangan, Kuala Muda di sini mungkin milik Sultan Mudzafar Shah I atau lebih dikenali sebagai Merong Mahawangsa yang terkenal melalui Hikayat Merong Mahawangsa.
Ketua Penyelidik Projek Kajian Kesan Peninggalan Sejarah Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas Universiti Utara Malaysia, Syamsul Anuar Ismail berkata, kewujudan pasangan batu nisan itu dapat dibezakan dengan jelas di bahagian kepala dan kakinya dan diperbuat daripada batu kawi.
"Makam tersebut pada asalnya berada di dalam lot tanah persendirian milik penduduk yang dikenali sebagai Muhamad Nor di kampung tersebut sebelum dipindahkan ke Masjid Sintok Bugis pada September 2017 lalu.
"Kajian awal dan bukti geologi juga menunjukkan ia sesuai dengan zaman wujudnya masyarakat di Bukit Meriam dan Sungai Mas iaitu sekitar abad ke-5 Masihi," katanya kepada Bernama selepas melawat tapak peninggalan sejarah Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas di sini, hari ini.
Menurut cerita melalui hikayat terkenal itu, pusat pemerintahan di Kedah bermula di Kota Langkasuka sebelum berpindah ke Serokam, Kota Sungai Emas, Kota Aur dan akhirnya dipercayai di Bukit Meriam.
Sultan Mudzafar Shah I dikatakan mangkat pada 1179 dan disemadikan di Makam Kota Bukit Meriam.
Malahan, kewujudannya melalui gelaran Keramat Tok Wahid di kawasan perkuburan di Kampung Berangan di Kota Bukit Meriam menambah kebarangkalian terdapat pemimpin awal Kedah yang merujuk kepada Merong Mahawangsa.
"Ini kerana dalam bahasa Arab, wahid bererti pertama dan ini dapat dikaitkan kepada Sultan Mudzafar Shah I sebagai Sultan Kedah yang pertama.
"Ukiran sulur kacang pada makam yang membentuk seperti tanda Om menunjukkan budaya lama yang dikaitkan dengan agama Hindu yang menambah dekatnya masa dengan agama tersebut dan bagi sultan pertama Kedah yang sebelumnya beragama Hindu iaitu Raja Merong Mahawangsa atau Seri Paduka Maharaja Derbar Raja," katanya.
Tambahnya, penemuan ini sekali gus dapat menolak penemuan makam Sultan Mudzafar I di Kampung Pengkalan Bujang yang sebelum ini dipersetujui oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).
"Antara bukti yang ditemui adalah Batu Nisan Kepala yang berukuran 93.98 sentimeter (cm) termasuk puting, lebar bahu 35.56cm, pinggangnya 27.94cm manakala tapaknya adalah 33.02cm dengan ukuran tebalnya, 8.89cm.
"Sifat batu itu iaitu daripada batu kawi menunjukkan ia wujud lebih awal daripada jenis Samuder-Pasai yang lazimnya diimport dari sana dan penggunaan batu kawi sebagai nisan amat luar biasa kerana ia tidak pernah wujud di tempat lain di Kedah malah nusantara," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi PSMCK Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd Yusuf berkata, kaitan antara penemuan makam dan Merong Mahawangsa perlu kajian yang lebih mendalam.
"Kita perlu tahu bahawa Merong Mahawangsa hanya dicatatkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang kebanyakannya bersifat mitos.
"Saya lebih suka mengaitkannya dengan Seri Paduka Maharaja Debar Raja yang dicatat dalam At-Tarikh Salasilah negeri Kedah," katanya.
-- BERNAMA
#hikayat #Hikayat Merong Mahawangsa #Kampung Bukit Berangan #kuala muda #Makam #Masjid Sintok Bugis #Merong Mahawangsa #nisan purba #Sultan Mudzafar Shah I #Syamsul Anuar Ismail
;