Penyelidik UM popularkan sarer keluaran tempatan
Sinar Harian
Mac 27, 2022 09:30 MYT
Mac 27, 2022 09:30 MYT
KOTA BHARU: Seorang penyelidik dari Universiti Malaya (UM) yang juga anak jati Pasir Puteh giat mempopularkan rumpai laut kering atau sarer keluaran tempatan yang dijamin lebih selamat dan bebas dari pencemaran logam berat.
Dr Adibi Rahiman Md Nor berkata, projek rumpai laut yang diusahakan di Parit Bulat, Muar, Johor itu mengurangkan kebergantungan bahan mentah tersebut yang dibawa masuk secara tidak sah dari Thailand ke negara ini.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Disember 1996 lalu telah mengharamkan aktiviti mengimport, larangan penjualan dan memakan sarer yang didapati dicemari oleh logam berat plumbum melebihi had dibenarkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
"Kita sedia maklum sarer cukup popular dalam kalangan rakyat Kelantan setiap kali tibanya bulan Ramadan apabila ia dijadikan hidangan kerabu," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, sarer yang dibangunkan itu hasil beberapa penyelidikan dilakukan sejak tahun 2002 bagi memastikan ia selamat untuk dimakan.
Beliau berkata, produk sarer yang dikeluarkan itu menjalani proses mencuci dan mengering dengan baik supaya khasiat makanan tersebut terus terpelihara selain selamat.
Adibi Rahiman turut memperkenalkan produk sarer tempatan yang boleh dinikmati secara sihat.
Adibi Rahiman berkata, Kelantan menjadi lokasi terbaharu projek ini menerusi kerjasama dengan syarikat Ain Aquaculture yang dijalankan di Kampung Pulau Gajah di sini.
"Kita akan menggunakan kaedah intergrasi antara rumpai laut, ikan dan tiram. Kombinasi spesis ini penting bertujuan memastikan keseimbangan ekosistem dan kandungan nutrien dalam kolam tersebut," katanya.
Menurutnya, setiap spesies itu memberi manfaat antara satu sama lain sebagai contoh ternakan akan menghasilkan banyak nutrien melalui najis dan makanan yang tidak habis dimakan.
Katanya, rumpai laut akan bertindak sebagai penapis biologi yang menyerap lebihan nutrien dalam air manakala tiram memainkan peranan sama bagi menapis partikel yang besar untuk memastikan persekitaran dalam kolam berada dalam keadaan selamat dan sihat.
"Skala percubaan projek ini masih lagi dalam kajian dan sedang membangunkan sistem yang seimbang.
"Hujung tahun ini kita akan tamatkan kajian projek ini dan memulakan dengan menghasilkan anak benih sebelum mengusahakan dalam bentuk skala makmal," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian