Penyelia restoran didenda RM40,000, mengaku rasuah pegawai Imigresen
Abd Razak Mohd Ali
September 13, 2024 10:40 MYT
September 13, 2024 10:40 MYT
IPOH: Seorang penyelia restoran di Teluk Intan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai kanan Imigresen, semalam.
Tertuduh, Heng Siou Wei, 33 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah memberi suapan wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai kanan di Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.
Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja-pekerjanya yang tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di Malaysia di bawah kesalahan seksyen 6 (1) ( c ) Akta Imigresen 1959/63 dan melanggar syarat pas atau permit di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak beralamat di Kompleks KDN, Persiaran Meru Utama, Bandar Meru Raya, Ipoh, kira-kira jam 3 pagi, 12 Sept 2024.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Wang rasuah berjumlah RM15,000 pula dilucuthakkan di bawah Seksyen 40(1) (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kepada Kerajaan Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.