Penyelia Rela dipenjara dua minggu kerana buat tuntutan palsu RM960
Shuhada Abdul Kadir
Mei 26, 2022 14:57 MYT
Mei 26, 2022 14:57 MYT
SEREMBAN: Seorang Penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipenjara 14 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dakwaan membuat tuntutan penugasan palsu, hujung tahun lalu.
Tertuduh, S Vijaiyan, 56, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penyelia Rela didapati memperdayakan prinsipalnya membabitkan suatu dokumen iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Rela bagi penugasan di sebuah pusat kuarantin COVID-19 atas nama seorang wanita bagi bulan November 2021 berjumlah RM960.
Tindakan itu dibuat oleh tertuduh sedangkan wanita berkenaan tidak hadir bertugas pada masa dan tarikh yang dicatatkan.
Kesalahan dilakukan di Pejabat Rela Daerah Seremban pada bulan Disember 2021 lalu.
Justeru bapa 12 anak itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM 10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, R Subash memohon hukuman paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan perlu menanggung seorang isteri dan 12 anak.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali bagaimanapun, mencadangkan mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.
Hakim Rushan Lutfi kemudian memutuskan hukuman penjara selama 14 hari bermula dari tarikh jatuh hukum dan denda RM10,000 serta lima bulan penjara sekiranya denda berkenaan gagal dilunaskan.
Dalam pada itu, mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan tertuduh bagi enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk menggunakan TIC (Take Into Consideration).