Penyelia pusat pemulihan disiasat pukul pelatih hingga maut
Sinar Harian
November 5, 2021 04:55 MYT
November 5, 2021 04:55 MYT
ALOR SETAR: Seorang penyelia pusat pemulihan ditahan kerana disyaki memukul pelatih asrama sehingga meninggal dunia dalam kejadian pada Khamis.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di sebuah pusat pemulihan di Changloon pada jam 11 malam susulan laporan awal dari Hospital Jitra mendapati mangsa meninggal dunia dengan kesan lebam di bahagian leher, dada dan dagu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, suspek telah direman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 November untuk siasatan lanjut.
"Tiada sebarang senjata dipercayai digunakan semasa memukul mangsa, selain itu, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati negatif dadah," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, mangsa berusia 31 tahun dipercayai dipukul kerana melarikan diri dari pusat terbabit pada jam 3 pagi Khamis.
"Mangsa dijumpai semula setengah jam kemudian di tepi jalan Sintok-Padang Sanai, Changloon Kedah sebelum dibawa balik ke pusat pemulihan.
"Pada hari yang sama jam lebih kurang 11 pagi, mangsa dipercayai telah dipukul oleh penyelia akibat marah dengan tindakannya melarikan diri.
"Kecederaan yang dialami oleh mangsa akibat dipukul menyebabkan mangsa rebah dan pengsan semasa mandi bersama pelatih lain pada sebelah petang. Mangsa telah dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Jitra Kedah oleh penyelia asrama dengan bantuan pelatih yang lain," katanya.
Rodzi berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, mangsa baru melaporkan diri di pusat terbabit selama empat hari sejak 1 November lalu.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Asisten Superintenden Mohd Shuhaimi Joohari di talian 019-3329342 atau talian Hotline IPD Kubang Pasu 04-9172222," katanya.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Artikel asal di Sinar Harian