Penyelia pembalakan dituduh sebabkan kematian tiga beranak
Astro Awani
Jun 26, 2020 16:58 MYT
Jun 26, 2020 16:58 MYT
Seorang penyelia pembalakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, minggu lalu.
Mohd Firdaus Hawari, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di bawah pengaruh dadah di Kilometer 74, Jalan Ipoh-Gerik, kira-kira jam 10.20 malam pada 19 Jun lalu hingga menyebabkannya tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya.
Perbuatan itu menyebabkan kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan kematian Nurul Huda Arifin, 31; Abdul Hakim Hashim, 32 dan bayi mereka berusia dua tahun, Adib Aidan.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 sehingga RM20,000.
Peguam tertuduh, Hazril Azam Abdul Hamid memohon jumlah jaminan yang minimum kerana anak guamnya menyara empat anak kecil dengan pendapatan RM2,300 sebulan selain isteri yang tidak bekerja dan mengandung.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil.
#Akta Pengangkutan Jalan 1987
#anak
#APJ 1987
#bayi
#Dadah
#Jalan Ipoh-Gerik
#kemalangan
#Kuala Kangsar
#mahkamah
#Mahkamah Sesyen
#peguam
#penjara
#Timbalan Pendakwa Raya
#Toyota