Penyelia maut selepas ditikam dalam kejadian samun

Astro Awani
Februari 8, 2014 12:42 MYT
Seorang penyelia sebuah syarikat pengangkutan mati ditikam dalam kejadian samun di sebuah kilang di kawasan perindustrian Gebeng awal hari ini.
Memetik laporan BERNAMA, kejadian berlaku sekitar jam 2.20 pagi apabila, mangsa Md Saipul Mizan Ibrahim, 33, dari Lorong Balok Sejahtera 12, Beserah ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh pengawal keselamatan kilang itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Mohd Haris Daud berkata sebelum kejadian berlaku, pengawal keselamatan ternampak mangsa sedang berlari dari arah kawasan tempat letak lori di kilang berkenaan sebelum rebah berhampiran pondok pengawal.
“Mangsa ketika itu cedera berlumuran darah dan masih dalam keadaan sedar dan segera dikejarkan ke klinik kilang tersebut untuk mendapat rawatan awal,”.
Mangsa bagaimanapun meninggal dunia pada jam 7 pagi ketika dalam perjalanan untuk mendapat rawatan selanjutnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Md Saipul dipercayai ditikam tiga kali pada sekitar badannya seperti di mulut, bahagian kanan dada dan bawah pusat sebelah kiri.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik hospital yang sama untuk bedah siasat.
Selain dompet dan telefon bimbit milik mangsa yang hilang, sebuah kereta milik syarikat jenis Ford Ranger bernombor plat CBP 8985 turut sama dilarikan.
Polis tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa mengenali suspek yang menyamun serta menikamnya dan usaha mengesan suspek yang dipercayai terlibat masih lagi dijalankan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#kilang #penyelia #samun