Penyelia 'ladle crane' maut jatuh dari ketinggian 20 meter

Bernama
Mei 6, 2024 23:49 MYT
Seorang penyelia maut selepas terjatuh dari ketinggian melebihi 20 meter ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di atas ladle crane di sebuah kilang pembuatan di Butterworth, semalam. - Gambar hiasan
BUTTERWORTH: Seorang penyelia maut selepas terjatuh dari ketinggian melebihi 20 meter ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di atas ladle crane di sebuah kilang pembuatan di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa rakyat tempatan berusia 51 tahun sedang menyelia kerja-kerja penyelenggaraan ladle crane oleh pekerja di kilang berkenaan.
"Sepasukan pegawai penyiasat JKKP Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu. Mangsa dilaporkan maut di tempat kejadian selepas terjatuh dari ketinggian melebihi 20 meter," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Sehubungan itu, Hairozie berkata notis pemberhentian kerja serta-merta dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.
Beliau berkata majikan turut diarahkan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian, langkah penambahbaikan dan membentangkan kes kepada JKKP.
Menurut beliau adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan serta kesihatan di tempat kerja.
-- BERNAMA
#penyelia ladle crane #jatuh #kerja penyelenggaraan #JKKP Pulau Pinang
;