Penyelia kilang dipenjara 38 tahun kerana bunuh nenek dan rakan
Raffi Bachik
April 16, 2017 18:53 MYT
April 16, 2017 18:53 MYT
Tindakan kejam seorang penyelia kilang yang menyebabkan kematian seorang nenek dan rakan wanitanya pada dua kejadian berasingan akhirnya mendapat pembalasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Muar di sini hari ini.
V.Siva, 35, sebelum itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan membunuh dua wanita berusia 87 dan 34 tahun pada 2013 dan tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkenaan dari tarikh dia ditangkap iaitu 26 Ogos 2015.
Mengikut fakta kes, pada 11 Julai 2013 sekitar 9.30 hingga 10.30 pagi, V. Siva didakwa bertindak mengambil barang kemas milik nenek kandung kepada isterinya, G. Ganatha Letchumy, 87, di sebuah rumah di Taman Koperasi Kluang sebelum menjerut leher mangsa sehingga menyebabkan kematian kepada warga emas terbabit.
Manakala pada 25 Ogos 2015 pula, tertuduh sekali lagi didakwa menyebabkan kematian dengan cara yang sama kepada rakan perempuannya S. Chitra, 34, di Taman Desa Kluang sekitar jam 12.30 tengah hari.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, V. Siva didakwa mengikut pertuduhan pilihan di bawah seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang mempunyai isteri dan seorang anak berusia 6 tahun itu, sebelum ini dituduh mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan, kerana membunuh.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Shukri Hussain pada dua prosiding berasingan itu menegaskan mahkamah untuk memberikan hukuman penjara maksima kepada tertuduh dengan mengambil kira pembunuhan ini berlaku disebabkan pergaduhan dan juga tindakan tertuduh yang memecah masuk rumah mangsa selain mengambil kira kepentingan awam.
Muhammad Jamil pada penghakimannya memutuskan hukuman penjara 18 tahun kepada tertuduh atas kesalahan menyebabkan kematian rakan wanitanya dan 20 tahun atas kesalahan sama terhadap warga emas itu.
Tertuduh diwakili peguam Ramesh Vasan, Mariammah dan Anita Vijay.