Penyelewengan dana: Datuk, dua individu bebas reman SPRM

Bernama
September 22, 2017 15:57 MYT
Tiga individu termasuk ketua eksekutif bergelar Datuk dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya selepas direman selama seminggu berkaitan isu penyelewengan dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta. - Foto Bernama
Ketua Eksekutif sebuah perbadanan bergelar Datuk dan dua individu lain yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM40 juta dibebaskan hari ini.
Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor memerintahkan ketua eksekutif berumur 58 tahun dan setiausaha perbadanan berumur 34 tahun itu, masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dengan dua orang penjamin.
Seorang lagi iaitu pengarah syarikat berumur 38 tahun dibebaskan dengan jaminan tunai RM28,000 dengan dua penjamin.
Pada 13 Sept, SPRM menahan empat individu bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM40 yang disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan kemahiran khusus untuk mereka yang tiada pekerjaan.
Sebelum ini, media melaporkan keempat-empat suspek didakwa menyeleweng RM25 juta pada tahun ini dan RM15 juta pada tahun lalu.
-- BERNAMA
#Datuk #kerajaan #Malaysia #Rasuah #siasatan #SPRM
;