Penyelesaian kepada keganasan dan fahaman ekstremis ada dalam Islam - Najib

Bernama
Mac 5, 2016 07:24 MYT
Najib berkata semasa zaman Nabi Muhammad SAW, Islam wujud bersama dengan agama-agama lain tanpa sebarang sengketa.- Gambar fail
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata penyelesaian kepada keganasan dan fahaman ekstremis yang telah menyebabkan ramai umat Islam mati terdapat dalam Islam.
"Setiap hari, banyak keganasan yang berlaku dalam dunia Islam dan amat menyedihkan apabila melihat begitu ramai umat Islam yang mati di tangan umat Islam sendiri," katanya dalam catatan terbaru di laman Facebook dan Twitternya.
"Ditambah pula dengan kebangkitan fahaman ekstremis, kesemua ini telah menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam dan satu fenomena Islamofobia," katanya.
Najib berkata semasa zaman Nabi Muhammad SAW, Islam wujud bersama dengan agama-agama lain tanpa sebarang sengketa.
"Ini boleh digunakan sebagai asas untuk menggalakkan nilai-nilai teras biasa dalam kalangan penganut agama yang berbeza," katanya.
Najib berkata beliau percaya bahawa penyelesaian kepada semua masalah yang dihadapi boleh didapati dalam Islam sendiri kerana Islam adalah agama yang mengajar kesederhanaan.
#ekstremis #Islamofobia #Najib Razak
;