Penyelenggaraan pencegahan kebakaran sekolah selesai 2017

Wan Syamsul Amly
Oktober 13, 2016 07:11 MYT
Kementerian Pendidikan akan melengkapkan prosedur keselamatan pencegahan kebakaran di sekolah-sekolah seluruh negara sebelum akhir tahun depan. -Gambar hiasan
Kementerian Pendidikan akan melengkapkan prosedur keselamatan pencegahan kebakaran di sekolah-sekolah seluruh negara sebelum akhir tahun depan.
Setiausaha Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan, Kamarudin Abdullah berkata sehingga kini lebih 50 peratus prosedur itu sudah dilakukan.
Katanya, keutamaan diberi kepada sekolah yang dilihat kritikal dan memerlukan penyelenggaraan segera.
"Dari segi apa yang ditegur audit tahun lepas, kita mengambil perhatian berat dan memberi perhatian selain merancang untuk tahun ini untuk melihat secara keseluruhan supaya pencegahan kebakaran dapat diselaraskan. Alat sedia ada serta pencegahan kebakaran yang kita rancang tahun akan disemak balik, yang mana tidak diselenggara akan kita rancang penyelenggaraannya.
"Semuanya bergantung jumlah peruntukan yang akan diperuntukkan, boleh dikatakan tidak kesemuanya dapat kita diselaraskan sekali gus. Jadi untuk tahun 2017, kita ambil perhatian berat dalam kes ini, memberi keutamakan kes kebakaran asrama sekolah.
"Jadi kita beri perhatian utama dalam mencegah kebakaran, pada 2017 juga kita beri perhatian utama untuk aspek keselamatan pencegahan kebakaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kamarudin mengulas Laporan Audit sebelum ini yang membangkitkan isu pemadam kebakaran di sekolah yang tidak diselenggara dengan baik.
Pada Rabu, seramai 208 pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Tengku Sulaiman yang menduduki Pentaksiran Peperiksaan Tingkatan Tiga (PT3) terpaksa dikuarantinkan selama 40 minit berikutan berlakunya kebakaran di sekolah berkenaan.
Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari ketika kesemua pelajar berkenaan sedang menjawab kertas soalan Pendidikan Islam.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penggunaan alat memadam kebakaran dengan inovasi baharu diperlukan dalam usaha mencegah kebakaran di sekolah.
Jelasnya, selain menukar pendawaian elektrik yang dikenal pasti sebagai antara faktor utama kebakaran di sekolah, kajian mengenai penggunaan alat baharu mencegah kebakaran boleh dilakukan sebagai alternatif kepada kaedah yang digunakan ketika ini.
Mahdzir berkata beliau memandang serius kes kebakaran di sekolah memandangkan kementeriannya mempunyai lebih 10,000 sekolah yang perlu diberi perhatian termasuk aspek keselamatan.
#kamarudin abdullah #Kementerian Pendidikan #keutamaan penyelenggaraan
;