Penyelenggaraan berkala atasi masalah banjir di Sabah - Jeffrey
Bernama
Februari 4, 2025 22:26 MYT
Februari 4, 2025 22:26 MYT
KOTA KINABALU: Penyelenggaraan parit sepanjang 170.5 kilometer perlu dilaksanakan secara berkala dalam usaha mengatasi masalah banjir di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, penyelenggaraan yang dijalankan tiga kali setahun dengan kos RM40 juta tidak mencukupi bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik terutamanya ketika pembangunan sedang pesat serta perubahan iklim.
"Selain itu, projek tebatan banjir sedang dilaksanakan tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya banjir terutama di daerah Penampang dan Putatan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog melibatkan kawasan Pekan Donggongon dan Putatan dengan kos RM297.960 juta sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Bagaimanapun, menurut beliau cadangan projek untuk kawasan tengah Sungai Moyog di Penampang dan Sungai Petagas di Putatan masih belum diluluskan.
Beliau berkata kerjasama semua pihak adalah perlu untuk menyelesaikan masalah berkaitan sistem saliran dan perancangan pembangunan rumah serta pekan di Moyog dan Putatan.
"Kita memerlukan lebih banyak pembiayaan jika mahu meningkatkan kekerapan pembersihan sistem perparitan dan sudah tentu kita perlukan bajet tambahan untuk itu," katanya.
-- BERNAMA