Penyelarasan cuti di Johor tarik lebih ramai pelabur asing - Teo

Bernama
Oktober 7, 2024 20:30 MYT
Teo Nie Ching berkata usaha itu mampu direalisasikan selepas Johor berjaya merekodkan nilai dagangan berjumlah RM753 bilion iaitu bersamaan 29 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara, tahun lepas. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025 di Johor diharap dapat menarik lebih ramai pelabur asing dalam usaha meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata usaha itu mampu direalisasikan selepas Johor berjaya merekodkan nilai dagangan berjumlah RM753 bilion iaitu bersamaan 29 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara, tahun lepas.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata tempoh masa yang diberikan sebelum pelaksanaan cuti itu amat bersesuaian bagi agensi kerajaan, swasta dan pelbagai pihak untuk membuat perbincangan penyelarasan agar pelaksanaannya berjalan lancar.
"Semoga urusan pentadbiran awam, swasta, persekolahan, serta pelbagai aspek lain bagi masyarakat Johor keseluruhannya berjalan lebih lancar selepas titah ini dilaksanakan kelak," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Teo pada masa sama menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan dan merestui penukaran cuti hujung minggu itu dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas pengumuman berkenaan.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail bertitah penyelarasan semula cuti hujung minggu itu mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
-- BERNAMA
#penyelarasan cuti #Johor #tarik pelabur #Teo Nie Ching
;