Penyelarasan antara agensi perlu dalam laksana penyelenggaraan jalan raya - Ahli akademik

Bernama
Mei 4, 2023 18:45 MYT
Menurut Dr Muhammad Zaly Shah, setiap agensi dalam menyiapkan atau menyelenggara infrastruktur atau jalan raya mempunyai perancangan dan pelaksanaannya pada waktu berbeza. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Setiap agensi terlibat dalam penyelenggaran atau pembaikan infrastruktur dan jalan raya, perlulah melaksanakannya secara bersepadu bagi mengatasi isu kesesakan apabila jalan raya atau lebuh raya ditutup ketika kerja-kerja dijalankan.
Apabila perancangan dan pelaksanaan diselaraskan, ia bukan sahaja menjimatkan masa bahkan lebih memudahkan semua pihak.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Muhammad Zaly Shah, setiap agensi dalam menyiapkan atau menyelenggara infrastruktur atau jalan raya mempunyai perancangan dan pelaksanaannya pada waktu berbeza.
''Mereka tahu bahawa jalan ini turut digunakan untuk berbagai perkhidmatan. Ada perkhidmatan air, perkhidmatan pembetungan, kabel elektrik pun ada di bawah jalan jadi agensi ini mempunyai perancangan yang berbeza-beza yang tidak diselaraskan dan berlaku serentak ataupun pada waktu yang berbeza-beza sehinggakan jalan-jalan ini tidak siap langsung, sentiasa ada penambahbaikan, sentiasa ada projek yang berlaku dan mereka sentiasa dibebankan dengan kelengahan ini,'' katanya kepada Bernama TV.
Tambah Muhammad Zaly, akhirnya pengguna jalan raya yang terpaksa menanggung beban kos perjalanan kenderaan, pertambahan masa dan kehilangan masa rehat akibat terlalu lama berada dalam kesesakan untuk ke sesuatu destinasi.
''Ini adalah satu perkara yang patut diambil berat ... penyelarasan antara agensi ini perlu, sentiasa ada komunikasi dengan pengguna, maklumkan mereka berapa lama projek ini akan mengambil masa untuk siap dan apakah langkah-langkah yang akan dijalankan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya,'' katanya.
Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penutupan jalan raya susulan pembinaan jalan, bangunan dan infrastruktur harus dikurangkan dan dibuka semula sebagai langkah segera mengatasi kesesakan lalu lintas.
Satu koordinasi akan dilakukan segera bagi kawasan pembinaan lebuh raya, bangunan atau lain-lain infrastruktur dan mesti dimaklumkan supaya ada kaedah penyuraian trafik.
-- BERNAMA
#jalan raya #kesesakan lalu lintas #pembaikan infrastruktur #menjimatkan masa
;