Penyelam kutip lebih 12 tan sampah dasar laut di Sabah

Bernama
Mac 27, 2024 08:45 MYT
Kira-kira 60 penyelam, penduduk kampung dan agensi kerajaan serta swasta mengambil bahagian dalam program pembersihan dasar laut selama empat hari yang diterajui Jetama Sdn Bhd ini. - Foto BERNAMA/Facebook SPDA
SEMPORNA: Projek pembersihan dasar laut iaitu 'Jetama Underwater Cleanup 2024' telah mengumpul 12.1 tan sisa dasar laut di tiga lokasi di Sabah termasuk di Pulau Mabul di sini, diiktraf sebagai lokasi menyelam terbaik di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Ahmad Naim Uddang berkata program pembersihan dasar laut selama empat hari berakhir semalam diterajui syarikat itu dan turut membersihkan dasar laut di Kampung Serusup di Tuaran dan Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu.
"Kira-kira 60 penyelam, penduduk kampung, dan agensi kerajaan serta swasta termasuk operator aktiviti penyelaman tempatan mengambil bahagian dalam program pembersihan yang julung kali diadakan.
"Mereka berkata semua bahan plastik berakhir di lautan... oleh itu matlamat awal kami adalah untuk mengutip 10 tan sisa buangan plastik selaras dengan sasaran plastik sifar bersih.
"Berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami mencapai angka positif dengan melebihi jumlah sasaran," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini semalam.
Sementara itu Ahmad Naim berkata Jetama, sebuah syarikat konsesi air untuk Pantai Barat Sabah, akan menganjurkan program tersebut sebagai acara tahunan untuk membantu meningkatkan pemuliharaan alam sekitar dan kualiti hidup masyarakat Sabah di sini.
Beliau berkata syarikat itu akan meneruskan program sama dengan memastikan dasar plastik sifar bersih dicapai setiap tahun bersama-sama dengan rangka kerja karbon sifar bersih dan konsep tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan matlamat yang lebih luas iaitu kemampanan dan tanggungjawab alam sekitar.
"Komitmen syarikat terhadap kelestarian alam sekitar tidak terhenti pada usaha pembersihan semata-mata dan berkait rapat dengan inisiatifnya untuk menangani pencemaran plastik dan mempromosikan ke arah kelestarian pengurusan plastik," katanya.
-- BERNAMA
#pembersihan dasar laut #Sabah #Penyelam #sampah dasar laut
;