Penyelam hilang di Mersing: Polis siasat kes selepas mangsa selamat pulih
Bernama
April 9, 2022 22:19 MYT
April 9, 2022 22:19 MYT
JOHOR BAHRU: Polis akan memulakan siasatan berhubung kes empat penyelam warga asing yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, selepas ketiga-tiga mangsa yang ditemukan selamat, pulih.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan akan dilakukan daripada pelbagai aspek termasuk kelayakan jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem serta sekiranya berlaku kecuaian ketika melakukan aktiviti berkenaan.
"Ya, kita akan siasat daripada pelbagai segi termasuk sama ada berlakunya kecuaian dalam pengendalian latihan serta adakah sesi latihan itu mematuhi peraturan ditetapkan atau prosedur operasi standard yang ada.
Buat masa ini mangsa yang terselamat masih lagi trauma dan mereka memerlukan masa untuk pulih, sebaik sahaja keadaan mereka stabil kita akan rakam percakapan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai dan Anggota Polis Dalam Op Tambak di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Rabu lepas, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing.
Bagaimanapun, Grodem, 35, ditemukan selamat dalam keadaan terapung lengkap dengan pakaian dan peralatan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi Khamis lepas.
Adrian Peter Chesters, 46, yang merupakan warga British, dan Alexia Alexandra Molina, 18, seorang warga Perancis, pula ditemukan selamat oleh nelayan tempatan pada kira-kira 1 pagi tadi.
Penyelam remaja warga Belanda Nathan Renze Chesters, 14, pula disahkan telah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.
-- BERNAMA