Penyelam hilang di Mersing: Indonesia henti operasi cari warga Belanda
Siti Nur Aqilla Omar
April 18, 2022 11:20 MYT
April 18, 2022 11:20 MYT
MERSING: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia menghentikan Op Carilamat mayat remaja warga Belanda, Nathan Renze Chester, 14.
Remaja itu hilang ketika melakukan latihan selaman bersama tiga yang lain di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, pada 6 April lalu.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata operasi ditamatkan secara rasmi sekitar jam 7 malam pada Ahad berikutan tiada sebarang petunjuk dan penemuan mangsa di perairan Pulau Bintan, Indonesia.
Katanya Pusat Operasi Basarnas Tanjung Pinang, mengumumkan penutupan operasi setelah tujuh hari pencarian bermula pada 10 April lalu di sektor perairan Indonesia.
Maritim Malaysia juga telah memaklumkan kepada pihak kedutaan Britain dan Belanda mengenai laporan tamat Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia.
Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa negara Indonesia itu melibatkan sebuah kapal Tentera Nasional Indonesia (TNI), sebuah kapal dari Badan Keamanan Laut Indonesia (Bakamla), Polis Perairan Indonesia (Polair) dan sebuah kapal dari Basarnas.
Pada 6 April lalu, empat penyelam warga asing hilang ketika melakukan aktiviti latihan selaman Pulau Tokong Sanggol, di sini dipercayai akibat arus air yang kuat.
Terdahulu, Op Carilamat di perairan Mersing ditamatkan jam 1.30 tengah hari pada 9 April lalu selepas Adrian Peter Chesters, 46, dan Alexia Alexandria Molina, 18, ditemui pada kedudukan 16 batu nautika utara Pulau Bintan, di perairan Indonesia oleh nelayan kira-kira pada jam 1 pagi.
Adrian Peter turut memberi kenyataan kepada pihak berkuasa bahawa seorang lagi penyelam, anaknya Nathan telah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.
Manakala jurulatih selam, Kristine Grodem dari Norway, ditemui pada hari 7 April lalu, lebih 20 batu nautika dari lokasi dipercayai hilang.