Penyelam hilang di Mersing: Bapa sahkan Nathen meninggal dunia - Maritim Johor

Siti Nur Aqilla Omar
April 9, 2022 17:32 MYT
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Adrian memaklumkan anaknya (gambar) meninggal dunia kerana terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.
MERSING: Penyelam warga Belanda, Nathen Renze Chesters, 14, yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, dekat sini, Rabu lepas disahkan telah meninggal dunia oleh bapanya warganegara Britain, Adrian Chesters, 46.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Adrian memaklumkan anaknya meninggal dunia kerana terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.
Katanya Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari mangsa.
"Penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35 tahun, penyelam warga Perancis, Alexia Molina, 18 tahun, dan penyelam warga Britain, Adrian Chesters, 46 tahun, selamat ditemukan.
"Bagaimanapun, seorang remaja lelaki Nathen Renze, 14 tahun, yang masih belum ditemui telah disahkan meninggal dunia oleh bapanya, Adrian Chester, akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.
"Nathan Renze, yang dipercayai telah meninggal dunia dan hanyut ke perairan Indonesia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
BACA: Penyelam hilang di Mersing: Ini apa yang perlu anda tahu
Penyelam Hilang | Dua lagi ditemukan selamat
Terdahulu pada Rabu, empat penyelam dilaporkan hilang ketika latihan menyelam di sekitar perairan Pulau Tokong Sanggol, Perairan Mersing.
Jelas Nurul Hizam, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi dan pihak terlibat sepanjang Op Carilamat ini berlangsung.
#penyelam hilang #Mersing #Pengarah Maritim Negeri Johor #Nathen Renze Chesters
;