Penyedia platform dalam talian perlu pertingkat sistem keselamatan - Gobind

Faida Rahim
Julai 11, 2024 03:56 MYT
Gobind berkata semua sektor yang menyediakan platform dalam talian perlu mempertingkatkan sistem keselamatan mereka sebaik mungkin.- Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Semua sektor yang menyediakan platform termasuk perbankan dan kesihatan diingatkan untuk mempertingkatkan sistem keselamatan dalam talian sebaik mungkin.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata perkara ini perlu dipandang serius bagi meningkatkan keyakinan pengguna bahawa data peribadi mereka adalah selamat serta menangani trend peningkatan jenayah penipuan dalam talian dan jenayah siber.
"Saya telah menyatakan dengan jelas tadi, saya telah pun meminta semua sektor tak kira banking ataupun kesihatan dan sebagainya.
"Bila kita mengajak orang ramai untuk menggunakan platform, berurusan dengan kita, itu bermaksud kita akan melihat data digunakan sebagainya.
"Jadi kita kena pastikan bahawa apabila kita mengajak orang ramai untuk menggunakan platform, kita kena yakinkan mereka bahawa platform itu adalah selamat," kata Gobind.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Perbankan Malaysia ke-3 (MBC) 2024 di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Kementerian Digital telah mengambil langkah mewujudkan undang-undang supaya keselamatan itu terus terjamin.
"Dari sudut itu kita lihat apa yang dilaksanakan oleh Kementerian saya dalam satu tahun, kita membentangkan di Parlimen tiga undang-undang yang berbeza.
"Ini termasuk Akta Keselamatan Siber 2024 di mana kita telah membawa tanggungjawab kepada Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) iaitu dalam sektor syarikat yang bertanggungjawab terhadap data national dan sebagainya.
"Mereka perlu melaksanakan tugas-tugas tertentu, piawaian yang ditetapkan oleh Kerajaan perlu mereka ikuti untuk memastikan data itu selamat," katanya.
April lalu, Persidangan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 yang bertujuan meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber, diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga oleh Gobind.
#Gobind Singh Deo #Rang Undang-Undang #penipuan dalam talian #Kementerian Digital