Penyedia perkhidmatan digital asing dicukai bermula 1 Januari 2020

Harits Asyraf Hasnan
April 8, 2019 11:41 MYT
Cukai perkhidmatan tersebut hanya dikenakan ke atas perkhidmatan digital yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan asing kepada pengguna Malaysia. - Gambar hiasan
Penyedia perkhidmatan digital asing bakal dikenakan cukai 6 peratus bermula 1 Januari tahun depan.
Ia selepas Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata ia bagi memastikan satu ekosistem yang seimbang diwujudkan.
“Sebenarnya kita nak sediakan level playing field. Adalah tidak adil bagi penyedia perkhidmatan dalam negara dikenakan cukai ini, tetapi mereka di luar negara terlepas daripada pembayaran cukai ini.
“Ini bukan cukai baharu tapi kita luaskan skop kepada penyedia perkhidmatan ini yang berada di luar ngeara yang menyediakan perkhidmatan ini,” katanya menggulung perbahasan tersebut.
Katanya, Malaysia turut mengambil contoh pelaksanaan cukai sama di beberapa negara lain sebagai penanda aras seperti Norway sebanyak 25 peratus, Rusia 18 peratus manakala New Zealand 15 peratus.
Cukai perkhidmatan tersebut hanya dikenakan ke atas perkhidmatan digital yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan asing kepada pengguna Malaysia, sama ada pengguna individu ataupun pengguna perniagaan.

Anda pengguna Netflix? Spotify? Penyedia perkhidmatan digital asing bakal dikenakan cukai 6 peratus bermula 1 Januari tahun depan. Ia selepas Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019. @501Awani

— Asyraf Hasnan AWANI (@AsyrafAWANI) April 8, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Jelasnya, perkhidmatan digital merangkumi mana-mana perkhidmatan yang diberikan melalui internet atau rangkaian elektronik yang serupa, yang mana tidak boleh diperolehi tanpa penggunaan teknologi maklumat.
“Contoh perkhidmatan digital adalah seperti langganan muzik dan video atas talian, langganan e-book, penggunaan platform e-marketplace, langganan sistem storan berasaskan perkomputeran awan (cloud computing) serta pembelian perisian komputer secara atas talian.
“Pengguna Malaysia ditentukan berdasarkan kaedah pembayaran, alamat Internet Protocol (IP) atau nombor peranti mudah alih yang digunakan semasa pembelian/langganan perkhidmatan digital serta sama ada pengguna tersebut menetap di Malaysia,” jelasnya.
#Amiruddin Hamzah #cukai perkhidmatan #Dewan Rakyat #ekosistem #penyedia perkhidmatan digital