Penyebaran fotofit palsu suspek kes bunuh kerani boleh ganggu siasatan - Polis
Astro Awani
November 18, 2015 17:00 MYT
November 18, 2015 17:00 MYT
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menafikan ada mengeluarkan fotofit yang tersebar di media sosial sejak malam tadi untuk mencari suspek kes rompak dan bunuh kerani wanita Sekolah Agama Sungai Raya di Taman Setia Kasih, Muar Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob yang kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu berkata, penyebaran fotifit berkenaan hanya mengganggu siasatan.
Menurut beliau, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang fotofit dan jika dilihat dengan teliti, gambar fotofit itu ialah gambar lama yang diguna semula dan pihaknya masih berusaha mengesan suspek kes tersebut.
Katanya, polis juga masih menunggu laporan bedah siasat dan meminta orang ramai bersabar serta memberikan ruang untuk pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci.
Dalam kejadian pukul 6 petang Isnin, mangsa yang berusia 29 tahun ditemukan meninggal dunia oleh jiran sebelah rumahnya dalam keadaan terbaring dan lehernya dijerut di lantai pintu bilik utama.
Semasa kejadian suami mangsa, Faris Jaafar, 30-an tiada di rumah kerana bekerja di Ulu Tiram, Johor Bahru manakala anak mereka yang berusia kira-kira 11 bulan dijaga pengasuh di Kampung Simpang Baba.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya memandang serius perbuatan menghasilkan fotofit palsu itu dan sudah mengarahkan anggotanya mengesan dalang di sebalik penyebarannya.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa suspek pembunuhan itu sendiri yang mereka maklumat palsu sebelum diviralkan di laman sosial tanpa usul periksa yang mungkin bertujuan mengganggu siasatan sedangkan pihak polis sedang berusaha mengesan suspek secepat mungkin.
Menurut beliau, pihaknya akan meminta bantuan agensi kerajaan berkaitan untuk mengesan dalang penyebaran berita palsu itu.
Katanya, jika orang ramai tidak dapat membantu polis mengesan suspek sekalipun mereka boleh membantu dengan tidak berkongsi maklumat itu hingga boleh mengganggu siasatan.