Penyebar maklumat palsu sekolah tutup akibat jerebu bakal berdepan tindakan

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Oktober 26, 2015 11:42 MYT
MAHDZIR: Bila kita keluarkan kenyataan sekolah ditutup satu hari misalnya, ada orang buat yang palsu tulis dua hari. -Gambar fail
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan kepada mana-mana pihak yang membuat serta menyebarkan kenyataan palsu berkaitan kementerian tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau akan bertemu dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) hari ini bagi membincangkan langkah-langkah dalam menangani isu tersebut.
"Kita (KPM) minta SKMM dapat beri bantuan...untuk memastikan amalan yang tidak sihat ini tidak menjadi amalan. Saya akan jumpa (SKMM) hari ini.
"Bila kenyataan palsu ini dikeluarkan dan disebarkan, ia bukan hanya mencetuskan kegusaran dalam kalangan ibu bapa, malah menyusahkan mereka," katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau pada masa sama akan berbincang dengan penasihat perundangan KPM untuk melihat tindakan yang sesuai terhadap pemalsuan dokumen itu.
Justeru, beliau meminta pengguna media sosial untuk tidak menyebarkan maklumat palsu dan bersikap bertanggungjawab.
"Isu berkaitan dengan jerebu adalah isu nasional yang melibatkan bukan sahaja pelajar sekolah malah ibu bapa, minggu lepas kita berada di dalam zon yang amat tidak selesa. Saya harap (pengguna) media sosial jangan jadikan isu ini sebagai isu yang boleh dipermainkan.
"Saya dapati salah satu masalah dalam media sosial ini...bila kita keluarkan kenyataan sekolah ditutup satu hari misalnya, ada orang buat yang palsu tulis dua hari. Ada hari yang sekolah tidak ditutup, dibuat (kenyataan) seolah-olah surat kementerian sekolah ditutup," katanya.
Tambah beliau, sebarang maklumat rasmi hanya akan dikeluarkan menerusi laman Facebook dan Twiiter rasmi KPM selain menerusi akaun rasmi media sosial.
Sehingga kini, Mahdzir mengesahkan sebanyak lima kes pemalsuan kenyataan media telah berlaku di media sosial selain salah guna kepala surat KPM.
#jerebu #KPM #Mahdzir #maklumat palsu #sekolah tutup #SKMM #tindakan perundangan
;