Penyebar fitnah, berita palsu perlu dihukum untuk beri pengajaran

Astro Awani
Disember 6, 2022 09:30 MYT
Perbezaan pendapat dan memfitnah adalah dua perkara yang berbeza, dan pelaku yang menyebarkan fitnah perlu dibawa ke pengadilan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Meraikan kebebasan idea dan berpandangan seperti yang diterapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya perlu dipuji, namun ia harus mempunyai batas.
Perbezaan pendapat dan memfitnah adalah dua perkara yang berbeza, dan pelaku yang menyebarkan fitnah perlu dibawa ke pengadilan.
Pakar Kajian Strategik dan Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Professor Mohd Mizan Aslam berkata, langkah prevent and counter (mencegah dan melawan) harus dilaksanakan bagi mengelakkan situasi bertambah buruk.
"Prevent memerlukan pendidikan, kefahaman, nurturing disemai dari semasa ke semasa hingga akhirnya dapat diselesaikan isu-isu yang timbul.
"Komponen countering pula agak mencabar kerana kita perlu lawan agenda dan naratif yang tidak baik di media sosial, antaranya mereka yang menyebar kebencian dan fitnah perlu ditangkap dan dijatuhkan hukuman, dibawa ke pengadilan.
"Memang kepimpinan Datuk Seri Anwar meraikan perbezaan pendapat tetapi kena jelas, pendapat dan fitnah berbeza.
"Kita boleh ada perbezaan pendapat tapi bukan fitnah atau sebar berita palsu. Apabila diambil tindakan, sekurang-kurangnya akan beri kesan, memberi perasaan berjaga-jaga supaya orang ramai tidak sesuka hati menyebarkan mesej yang tidak tepat," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Isnin.
Perkara ini lebih diperlukan ketika ini memandangkan penggunaan media sosial yang begitu meluas dengan kandungannya boleh diakses sesiapa sahaja.
Jelasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kementerian berkaitan perlu mengadakan sekatan dan ia harus dibuat pada kadar segera bagi mengelakkan timbulnya rasa kebencian dan fitnah berleluasa.
"Dalam pentadbiran Menteri Pertahanan sebelum ini, mereka telah membangunkan kertas putih dan ia dibincangkan dengan teliti oleh pelbagai pihak termasuk Panglima Tentera Darat dan Laut. Pelbagai aspek diperhalusi supaya kertas putih itu komprehensif untuk keselamatan pertahanan negara.
"Sekarang kita lihat kertas putih itu diangkat semula dalam pentadbiran Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sekarang ini. Saya lihat ia tindakan tepat kerana perkara baik yang perlu diteruskan.
"Kita berlapang dada, biar ia diteruskan tetapi mungkin perlu penilaian semula dan penambahbaikan, diperkukuhkan dari semasa ke semasa dan perlu disokong agensi berkaitan," katanya lagi.
#fitnah #berita palsu #PM10 #Pantau Kerajaan Baharu
;