Penyatuan dua keluarga tema Cerita Raya CelcomDigi "Rumah Terbuka"
Israr Khalid
April 29, 2023 17:20 MYT
April 29, 2023 17:20 MYT
TIADA yang lebih penting dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri daripada mempererat semula hubungan silaturahim sesama manusia terutamanya antara saudara sedarah sedaging.
Aidilfitri tahun ini menandakan Hari Raya pertama yang diraikan bersama CelcomDigi sebagai sebuah entiti yang bergabung sejak November tahun lepas dan mereka tampil dengan Cerita Raya berjudul ‘Rumah Terbuka’.
Dihasilkan oleh rumah produksi Reserve Tank, ia mengisahkan tentang dua beradik, Maklong dan Maksu, yang bertelagah sejak pemergian ibu mereka, Tok Ami.
Bertahun mereka bertegang urat, tidak boleh bertentang mata, hanya kerana berebut resepi dodol yang ditinggalkan oleh ibu mereka. Segalanya berubah apabila Mir, salah seorang cucu Tok Ami mencari jalan untuk menyatukan keluarga besar yang terpisah ini.
Seperti mana Celcom dan Digi yang kini berada di bawah satu bumbung, kebersamaan menjadi tema utama di mana hubungan erat antara dua keluarga bukan sahaja menjadikan Hari Raya lebih meriah, malah segala potensi boleh dicapai andai semua berganding bahu.
Cerita Raya CelcomDigi ‘Rumah Terbuka’ yang diarahkan oleh Maurice ini memperlihatkan bahawa Aidilftri bukan satu perayaan eksklusif tetapi rohnya turut dihayati dan dikongsi masyarakat pelbagai latar belakang.
Sebuah penceritaan yang dekat dengan citra masyarakat Malaysia, ‘Rumah Terbuka’ mengajak kita kembali ke fitrah, seperti mana dituntut dalam merayakan Aidilfitri, untuk merendah diri dan menjalani hidup dengan penuh rasa kasih dan hati yang terbuka.
Cerita Raya CelcomDigi ‘Rumah Terbuka’ menampilkan barisan pelakon Zarra sebagai Mir, Ramlah sebagai Tok Ami, Suraida sebagai Maklong dan Mardiana sebagai Maksu.
Saksikan kisah ‘Rumah Terbuka’ yang dibawakan khas untuk anda oleh Rangkaian Pilihan #1 terluas dan terpantas di Malaysia di saluran Youtube CelcomDigi.
Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada CelcomDigi, maaf zahir dan batin.