Penyasaran subsidi supaya negara tidak bankrap, bukan mahu bebankan rakyat - PM Anwar
Afiezy Azaman
Oktober 7, 2024 11:52 MYT
Oktober 7, 2024 11:52 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menggunakan keberanian politik yang teguh untuk mengambil tindakan tidak popular seperti melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel, pada Mei lepas.
Kerajaan juga tetap dengan pendirian tidak mengabaikan tugas moral tadbir urus yang baik dan bertanggungjawab, apabila mengetahui, tanpa sebarang tindakan, keadaan berterusan itu hanya akan menuju kebankrapan.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan melaksanakan pelarasan tarif elektrik dan apungan harga barangan keperluan tertentu bukanlah untuk mendatangkan kesakitan atau penderitaan kepada rakyat.
"Sebaliknya, majoriti rakyat akan terus menikmati subsidi yang mereka patut miliki, orang kaya dan industri besar mesti membayar apa yang sepatutnya.
"Berbilion ringgit yang disimpan kini disalurkan semula kepada rakyat daripada segi subsidi lain dan pemindahan tunai.
"Itulah yang telah kerajaan lakukan dan akan terus lakukan sambil meneruskan dengan berani dalam proses pembaharuan struktur.
"Kerajaan komited terhadap tadbir urus, akauntabiliti dan keadilan sosial iaitu memastikan faedah pertumbuhan diagihkan secara adil dan saksama, setiap rakyat berpeluang untuk maju dan mereka yang ditugaskan melaksanakan dasar kerajaan mesti mematuhi standard tertinggi tanggungjawab, ketelusan dan akauntabiliti," katanya.
Anwar berkata demikian semasa ucapannya sebelum melancarkan Forum Megatrends Khazanah 2024, di sini, hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan akan terus dengan kempen tegas dan proaktif menentang rasuah dan salah guna kuasa.
Tegas Anwar, pembaharuan struktur juga mesti bermaksud keberanian dan keyakinan teguh serta komitmen untuk mengambil tindakan terhadap penyangak rasuah yang tidak bertanggungjawab dan penyalahgunaan kuasa, tanpa rasa takut atau pilih kasih.
"Langkah kami dalam pembaharuan struktur sudah terbukti berkesan seperti yang dibuktikan oleh prestasi ringgit, peningkatan luar biasa dalam pelaburan dan trajektori positif pertumbuhan ekonomi.
"Oleh itu, izinkan saya meluangkan sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih kepada komuniti pelaburan asing dan domestik, atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap ekonomi Malaysia, tadbir urus kita, kedaulatan undang-undang kita dan kestabilan politik kita," ujarnya.