Penyasaran subsidi: Satu langkah berani diambil kerajaan - Prof Jomo

Astro Awani
Mei 21, 2024 23:17 MYT
Prof Jomo juga melihat pendekatan tidak melaksanakan penyasaran subsidi secara mengejut atau sekali gus itu suatu yang penting. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Pelaksanaan penyasaran subsidi ke atas bahan api termasuk diesel disifatkan satu langkah berani diambil kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut menyifatkan ia permulaan yang baik, Penasihat Penyelidikan Khazanah Research Institute, Prof Jomo Kwame Sundaram berkata, beliau tertarik apabila pelaksanaan bahan api itu dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Selain itu, Prof Jomo juga melihat pendekatan tidak melaksanakan penyasaran subsidi secara mengejut atau sekali gus itu suatu yang penting.
"Bagaimanapun, apa yang ingin dilihat kelak adalah adakah penyasaran dan hasil daripadanya ini benar-benar sampai kepada golongan memerlukan... golongan yang terbeban (B40 dan miskin).
"Kalau kita lihat dulu, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) gagal kerana rebat. Orang yang sepatutnya dapat tidak dapat (rebat). Ini akhirnya menyebabkan GST itu cukup tidak popular," katanya dalam selepas menjadi tetamu dalam Buletin AWANI Khas pada Selasa malam.
Bagaimanapun, beliau ingin melihat sama ada penyasaran subsidi itu boleh berjaya memandangkan kerajaan mempunyai skim subsidi bersasar yang pernah dicadangkan untuk diesel dan bahan bakar lain.
Beliau meletakkan harapan tinggi hasrat kerajaan menyasarkan semula subsidi itu dan pelaksanaannya dapat bergerak seiring.
Buletin AWANI Khas: Perutusan Negara oleh Perdana Menteri
#penyasaran subsidi #bahan api #Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Jomo Kwame Sundaram
;