Penyasaran subsidi: Pematuhan peniaga baik - Armizan

Firdaus Azil
Ogos 6, 2024 17:30 MYT
Armizan berkata, KPDN hanya menerima 83 aduan berhubung isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan menerusi Ops Kesan 2.0, yang dilaksanakan sejak 8 Jun hingga Ahad lepas. - Gambar fail
SEPANG: Hasil pemerhatian melalui Ops Kesan 2.0 bagi mengekang aktiviti pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel sepanjang dua bulan lepas, telah menyaksikan kadar pematuhan yang tinggi oleh peniaga.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sepanjang 8 Jun hingga 4 Ogos lepas, pihaknya hanya menerima 83 aduan awam rasmi berkaitan isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Daripada 24,666 premis perniagaan yang diperiksa, 244 notis bertulis telah dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2021 (AKHAP), dan 10 kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Secara keseluruhan dengan persiapan yang dilakukan Kerajaan, bentuk bantuan yang kita berikan, seperti SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) kepada 33 jenis pengangkutan sektor awam dan barangan, dan juga bantuan Budi Madani kepada petani, individu, dan pekebun kecil, kita melihat kes yang melibatkan pencatutan adalah kecil dan terkawal.
“Pada kesempatan ini saya nak rakam ucapan penghargaan kepada sebahagian besar komuniti peniaga yang bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan melakukan pencatutan,” katanya lagi.
Armizan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan stesen minyak Five KLIA Pit Stop di sini pada Selasa.
Dalam kenyataan media susulan, Armizan berkata, KPDN akan terus memperkasa pemantauan di semua peringkat melalui Ops Kesan 2.0, dan maklum balas orang awam amat dialu-alukan.
#kpdn #subsidi diesel #penyasaran subsidi #Armizan Mohd Ali
;