Penyanyi wanita ditahan kerana simpan anak beruang matahari

Bernama
Jun 7, 2019 00:39 MYT
Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.59 petang sebelum 6 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dihantar ke lokasi kejadian. - Foto Facebook Ida Shareena
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan seorang penyanyi wanita kerana disyaki menyimpan anak beruang matahari di kondominumnya di Desa Pandan di sini, semalam.
Wanita berusia 27 tahun itu ditahan pada kira-kira jam 8 malam selepas pihak Perhilitan membuat pemeriksaan mengejut di rumahnya selepas menerima maklumat awam.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan wanita itu bagi membantu siasatan kes itu.
“Wanita itu tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen pemilikan beruang itu,” katanya.
BACA: Jiran terkejut beruang 'minta' makanan
Beliau berkata wanita itu disiasat kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Video berdurasi lima saat serta gambar kepala beruang matahari cuba keluar dari tingkap kondominium kediaman wanita itu tular di laman sosial hari ini.
-- BERNAMA
#Abdul Kadir Abu Hashim #anak beruang #beruang matahari #bomba #Desa Pandan #dokumen pemilikan #hidupan liar #jiran #kondominum #laman sosial #penyanyi #Perhilitan #siasatan #video #wanita
;