Penyanyi Nash turut tunai tanggungjawab pilih pemimpin UMNO

Bernama
Oktober 19, 2013 22:02 MYT
Penyanyi kumpulan rock legenda Lefthanded, Nash, merupakan antara 592 perwakilan UMNO Shah Alam yang menunaikan tanggungjawab pada proses pemilihan parti hari ini.
Penyanyi itu yang nama sebenarnya Jamaluddin Elias memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua UMNO Cawangan Seksyen 7 Utara di sini selama tiga penggal.
Ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Dewan Serbaguna Sirim, Nash berharap mana-mana pemimpin yang terpilih akan dapat menambah nilai pada tugas dan tanggungjawab masing-masing sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
"Saya berharap akan ada gabungan tenaga serta kerjasama antara kepimpinan tertinggi dan sayap parti untuk bekerja dari sekarang. Anggota jawatankuasa sehingga ke pucuk pimpinan hendaklah selalu turun padang mulai saat ini dan jika tiada inisiatif ke arah itu eloklah letak jawatan.
"Kami di peringkat akar umbi telah beri sokongan kuat dan diharapkan mereka dapat beri satu tenaga kerja yang luar biasa untuk beri kestabilan kepada UMNO ," katanya yang menyertai UMNO sebelum memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada 1979.
Pada pemilihan peringkat bahagian itu, penyandang jawatan ketua bahagian Datuk Ahmad Nawawi M.Zin ditentang oleh bekas Ketua Pemuda bahagian itu, Azhari Shaari.
#jamaluddin elias #Nash #shah alam #UMNO