Penyanyi mengaku tidak bersalah simpan, kurung anak beruang
Sinar Harian
Jun 12, 2019 12:10 MYT
Jun 12, 2019 12:10 MYT
Penyanyi Zarith Sofia Yasin yang sebelum ini ditahan Jabatan Perhilitan kerana menyimpan seekor anak beruang matahari minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Zarith Sofia, 27 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyimpan dan mengurung anak beruang tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Manira Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan pertama, bekas peserta rancangan realiti TV itu didakwa telah didapati menyalahi undang-undang menyimpan seekor beruang matahari (Herlactos Malayanus) tidak matang iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dibawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 69(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 atau dipenjarakan maksimum 10 tahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, penyanyi yang dikenali dengan nama Pia itu didakwa telah menyalahi undang-undang sama dengan mengurung haiwan tersebut di dalam premis yang tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar tersebut.
Bagi kesalahan itu, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 86(1)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit Kondominium Sentario Pandan, Desa Pandan di sini jam 8 malam pada 6 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Munirah Zainal Abidin tidak menawarkan ikat jamin atas alasan kes yang dilakukan tertuduh melibatkan haiwan hidupan liar yang terlindung.
"Beliau bagaimanapun mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 sekiranya mahkamah menawarkan ikat jamin ke atas tertuduh," katanya.
Bagaimanapun Zarith Sofia yang diwakili peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan alasan tertuduh perlu menanggung keluarganya.
Peguam itu juga berkata, anak beruang tersebut dijumpai anak guamnya dan dijaga dengan baik.
Manira kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Pia juga diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan dilarang menganggu saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Julai ini.
Sabtu lalu, video berdurasi lima saat yang memaparkan seekor beruang cuba keluar dari tingkap kondominium wanita berkenaan tular di media sosial.
Kehadiran haiwan itu liar itu disedari jiran di unit berkenaan yang terdengar bunyi bising oleh beruang yang dipercayai sedang kelaparan kerana ditinggalkan sejak dua hari sebelumnya.
INFOGRAFIK: Kenali beruang matahari