Penyanyi disyaki pukul bekas isteri tiba di mahkamah untuk didakwa

Sinar Harian
April 22, 2022 09:30 MYT
Seorang vokalis sebuah kumpulan terkenal tiba di Mahkamah Majistret di sini pada jam 8.53 pagi Jumaat, untuk didakwa atas pertuduhan memukul bekas isterinya, Selasa lalu. -Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Seorang vokalis sebuah kumpulan terkenal tiba di Mahkamah Majistret di sini pada jam 8.53 pagi Jumaat, untuk didakwa atas pertuduhan memukul bekas isterinya, Selasa lalu.
Dia sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.
Lelaki berusia 45 tahun itu tiba di mahkamah dengan memakai baju kurta berwarna biru gelap, dalam keadaan bergari serta diiringi anggota polis.
Pada Khamis, penyanyi itu direman dua hari kerana disyaki memukul bekas isterinya hanya kerana enggan bergambar di kawasan parkir di sebuah kediaman di Kota Damansara.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di kediaman tersebut.
Siasatan awal mendapati kejadian pada jam 2.29 petang, wanita berusia 27 tahun itu datang ke kediaman tersebut untuk mengambil anak lelakinya.
Perselisihan faham berlaku apabila mangsa enggan bergambar bersama suspek.
Suspek kemudiannya telah memarahi dan memukul badan mangsa sehingga menyebabkan kesan lebam dan sakit pada anggota badannya.
*Berita asal di Sinar Harian
#keganasan rumah tangga #vokalis pukul isteri #Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid #enggan bergambar ketika ambil anak
;