Penyamun terkulai di khemah persembunyian, 18 kes pecah rumah selesai

Astro Awani
Mac 16, 2018 07:28 MYT
Beberapa peralatan pecah rumah turut ditemui di tapak persembunyian di Taman Templer. - Astro AWANI
Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di daerah ini selepas menumpaskan dua penjenayah dalam serbuan di kawasan hutan Taman templer awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata kedua-dua suspek ditembak mati selepas mereka cuba menyerang pasukan polis dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi.
Menurutnya, kedua-dua suspek disahkan terlibat dalam 18 kes pecah rumah di sekitar daerah Rawang sejak tahun 2016.
"Kita buat serang hendap dan apabila kita minta dua penjenayah ini supaya serah diri, mereka telah menyerang pasukan polis.
"Kita dapat menumpaskan kedua-dua penjenayah tersebut di mana disahkan mereka ini terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar kawasan ini.
"Dengan tertumpasnya kumpulan ini, saya percaya kita dapat menyelesaikan sebanyak 18 kes pecah rumah dari tahun 2016.
Kedua-dua suspek dikesan di tapak persembunyian dalam kawasan hutan tersebut selepas meloloskan diri dari tahanan di Taman Templer minggu lalu.
Kata Mazlan, hasil risikan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati mereka telah mendirikan tapak tersebut sejak tiga bulan lalu.
Turut ditemui beberapa peralatan pecah rumah dan peralatan harian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu Mazlan memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak libatkan diri dalam pembelian barangan pecah rumah yang disyaki dijual pada harga murah.
"Saya beri ingatan dan amaran kepada mereka yang berurusan dengan barang harta curi.
"Mereka ini akan dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka yang mendorong kumpulan ini untuk pecah rumah," tambahnya lagi.
Jumaat lalu seorang lelaki warga asing yang terlibat dalam beberapa kes pecah rumah ditembak mati polis dalam kejadian yang berlaku di Taman Templer.
BACA: Suspek kes pecah rumah ditembak mati polis
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, suspek dikatakan cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan parang sebaik sahaja menyedari didatangi pihak polis.
Suspek dipercayai ada kaitan dengan penjenayah yang ditembak mati hari ini.
#Mazlan Mansor #pecah rumah #penjenayah #penyamun #polis #Rawang #serbuan #tembak mati