Penyamun kedai emas ditembak mati
Astro Awani
Januari 5, 2018 05:31 MYT
Januari 5, 2018 05:31 MYT
Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai emas sekitar Lembah Klang serta Negeri Sembilan sejak 31 Disember lalu, ditembak mati di Taman Connaught, Cheras malam tadi.
Suspek dikenal pasti sebagai rakyat tempatan berusia 22 tahun.
Dia dikesan memandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di kawasan Cheras oleh sepasukan polis dari pasukan petugas khas jenayah terancang (STAFOC) Bukit Aman dan bahagian siasatan jenayah berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang menjalankan rondaan selepas menerima maklumat sekitar 10.30 malam.
Polis mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya bagi tujuan pemeriksaan.
Bagaimanapun, ketika diperiksa, suspek dikatakan enggan memberikan kerjasama dan bertindak menembak polis.
Suspek dan polis kemudian berbalas tembakan.
Tembakan yang dilepaskan dipercayai terkena suspek dan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemeriksaan lanjut polis ke atas kenderaan milik suspek turut menemui sepucuk pistol yang digunakannya.
Semakan mendapati suspek berasal dari Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, serta mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis atas beberapa kesalahan, termasuk memiliki senjata api dan cubaan samun.
#Bukit Aman
#kedai emas
#lelaki
#mati
#meninggal dunia
#Myvi
#polis
#rekod jenayah
#samun
#senjata api
#siasatan
#suspek