Penyamun jatuh dari tingkat 9 kondominium

Khairul Wasiril Aswad
Februari 26, 2013 16:51 MYT
Cubaan seorang penyamun meloloskan diri membawa padah apabila dia terjatuh dari tingkat Sembilan di Kondominium Pangsaria Taman Desa Petaling.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisoner Mohan Singh Tara Singh, suspek dipercayai terjatuh semasa cuba keluar semula melalui belkoni rumah ke unit bersebelahan yang tiada penghuni setelah menyedari kepulangan tuan rumah tersebut.
“Suspek dipercayai panik selepas menyedari kehadiran tuan rumah lalu cuba melarikan diri dengan tergesa-gesa menyebabkan dia tergelincir lalu terjatuh ke atas sebuah kenderaan,” kata Mohan
Siasatan mendapati suspek yang berusia 29 tahun itu telah berjaya mengambil wang tunai dan beberapa barang kemas milik tuan rumah.
Turut ditemui bersama suspek sebuah beg galas mengandungi beberapa peralatan pecah rumah seperti pemutar Skru, Spana dan pemotong besi.
Suspek yang mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan beberapa bahagian badan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun pada hari yang sama, pegawai perubatan PPUKM mengesahkan suspek telah meninggal dunia akibat kecederaannya yang parah.
#ASP Mohan Singh Tara Singh #Mohan Singh Tara Singh #pecah rumah #penyamun
;