Penyampai RTM, Alan Zachariah meninggal dunia
Bernama
Mac 27, 2013 18:40 MYT
Mac 27, 2013 18:40 MYT
Bekas penyampai Radio Televisyen Malaysia, (RTM) Alan Zachariah, 71, meninggal dunia akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya Selasa.
Anak tunggal mendiang, Adam Zachariah, 34, memberitahu bapanya dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit dada Isnin sebelum meninggal dunia pada kira-kira 1.30 tengah hari.
"Bapa saya tidak pernah mengadu sakit, tapi semalam tiba-tiba dia sakit dada dan kami terus bawa ke hospital," katanya.
Menyifatkan bapanya seorang yang penyayang dan bertanggungjawab, Adam berkata mendiang gemar melancong bersama keluarga selain mahir bermain gitar.
Upacara keagamaan untuk mendiang dijangka disempurnakan di Gereja St Ignatius di Petaling Jaya pada Khamis.
Mendiang Alan meninggalkan balu, Evelyn, 64.
Anak kelahiran Kuala Lumpur, Alan mula menyertai RTM pada 1966 dan bersara pada 2000.
Mendiang terkenal sebagai penyampai radio siaran bahasa Inggeris ketika bertugas dengan RTM.