Penyampai radio JohorFM 'KJ' meninggal dunia akibat SLE
Bernama
November 8, 2021 11:13 MYT
November 8, 2021 11:13 MYT
JOHOR BAHRU: Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Negeri Johor, Junaidah Alahan meninggal dunia tengah malam tadi akibat penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).
Junaidah, 48, atau lebih dikenali sebagai KJ, yang turut bertugas sebagai penyampai radio JOHORfm selama 22 tahun, meninggalkan seorang suami dan empat anak berusia 16 hingga 22 tahun.
Suaminya Mohd Hafiz Hamdan, yang juga pemandu kenderaan di RTM Johor berkata isterinya meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada pukul 12.55 tengah malam.
"Selepas lebih seminggu dimasukkan ke wad HSA, Allahyarham meninggal dunia akibat penyakit SLE yang dihidapi sejak 21 tahun yang lepas.
"Dia seorang isteri yang terbaik, tidak berkira dan jika ada apa-apa berlaku kami akan selesaikan bersama, apa pun mungkin Allah lebih menyayangi dia," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Penyiaran Johor Ramlee Johari berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat warga kerja JOHORfm.
"Kita kehilangan pegawai yang dikasihi semua, beliau seorang yang bersopan santun dan selalu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas dan amanah serta tidak pernah menolak.
"Saya rasa kita semua harus mencontohi keperibadian beliau, saya harap keluarga Allahyarham terus kuat atas pemergiannya," katanya.
Jenazah Junaidah akan dimandikan dan disembahyangkan di Surau AtTaqwa serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, di sini.
-- BERNAMA