Penyaluran tenaga elektrik hijau pertama dari Malaysia ke Singapura bermula hari ini
Bernama
Disember 13, 2024 20:15 MYT
Disember 13, 2024 20:15 MYT
KUALA LUMPUR: Penyaluran tenaga elektrik hijau pertama dengan kapasiti 50 megawatt (MW) dari Malaysia ke Singapura bermula hari ini, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
PETRA menerusi satu kenyataan memaklumkan penyaluran itu adalah lanjutan daripada pemeteraian Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) pada 9 Dis, 2024.
"Pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura berkenaan adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada Jun 2024 dan sebahagian daripada inisiatif PETRA di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu (CBES RE)," menurut PETRA di sini hari ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama pengurusan tertinggi PETRA, Suruhanjaya Tenaga dan TNB hadir bagi menyaksikan detik bersejarah berkenaan iaitu perdagangan tenaga elektrik hijau merentas sempadan di antara Malaysia dengan Singapura di Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional di Ibu Pejabat TNB Bangsar, di sini.
Menurut PETRA, TNB selaku syarikat utiliti nasional bertanggungjawab menyalurkan bekalan elektrik hijau dari sistem bekalan elektrik negara ke sistem bekalan elektrik Singapura melalui syarikat Sembcorp Power yang merupakan pemegang lesen import bekalan elektrik di negara jiran itu.
"Penyaluran tenaga elektrik ini dilakukan menerusi rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara," menurut PETRA.
PETRA yakin pelaksanaan inisiatif pembekalan elektrik hijau merentas sempadan itu akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara serta menyumbang kepada komitmen Malaysia dalam menerajui inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN.
Grid Kuasa ASEAN merupakan satu daripada agenda utama negara untuk kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun hadapan.
-- BERNAMA