Penyakit timbul selepas banjir di Kelantan
Astro Awani
Januari 9, 2017 23:10 MYT
Januari 9, 2017 23:10 MYT
Kesemua pusat pemindahan banjir di Kelatan ditutup secara rasminya pada jam 1 tengahari tadi.
Ia bermakna banjir sudah pulih walaupun masih ada beberapa kawasan yang masih digenangi air.
Namun kini, mangsa mula mengadu mengenai beberapa masalah kesihatan berpunca dari air tercemar.
Ada di antara mangsa di Tumpat mula mengadu mengalami demam dan kegatalan selepas mengharungi air banjir.
Kanak-kanak antara yang paling ramai terkena jangkitan berkenaan.
Menurut mangsa banjir, Mek Yah Awang, selain mengalami demam, air banjir yang kotor itu menyebabkan kulit kanak-kanak berwarna merah dan berbintik.
"Selesema dan tidak dapat mandi di rumah, harung air itu menyebabkan kegatalan. Namun kita dapat rawatan hari ini dan pulih", katanya di sini.
Bagi seorang lagi mangsa banjir, Noraizan Hassan berkata dia mengalami masalah kulit gatal.
"Saya rasa gatal di kulit akibat kesan air banjir. Saya tidak pindah dan masih di rumah sampai tengah hari dan rasa demam", katanya.
Bagaimanapun, penduduk yang mengalami masalah berkenaan segera mendapatkan rawatan di klinik bergerak yang disediakan Kementerian Kesihatan dan Angkatan Tentera Malaysia.