Penyakit mental: Sedar gejala, dapatkan bantuan seawal mungkin - Sarimah Ibrahim

Madiha Abdullah
Mei 15, 2021 08:27 MYT
Sarimah menggesa orang ramai agar tidak takut dan malu untuk tampil meminta bantuan. - Instagram
KUALA LUMPUR: Sensitiviti masyarakat berkaitan masalah mental perlu dipertingkatkan bagi membolehkan pesakit menyedari dan mendapatkan rawatan seawal yang mungkin.
Ini kerana, rawatan hanya boleh dijalankan apabila pesakit tahu dan sedar akan keadaan dirinya, dan segera bertindak untuk mengelakkan ia menjadi lebih serius.
Penaung Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental Malaysia (MIASA), Che Puan Sarimah Ibrahim berkata, seperti juga penyakit lain, penyakit mental terlebih dahulu akan bermula dengan masalah mental yang boleh dikenal pasti menerusi beberapa gejala.
"Semua orang ada masalah mental, yang membezakan ialah adakah ia akan menjadi penyakit mental. Sebelum jadi penyakit, kita boleh nampak tanda-tanda ia akan menghala ke situ.
"Sebab itu di MIASA, kita akan lihat banyak aspek. Kita lihat aspek biologi, adakah dia cukup makan, minum dan rehat.
"Kita tengok aspek psikologi, pemikiran dia, bagaimana dia dibesarkan. Kita tengok aspek sosial, siapa kawan-kawan dan sistem sokongannya.
"Dan kita lihat juga aspek spiritual, sama ada dia sedar tentang satu kuasa lain yang lebih besar daripada dunia ini.
"Ramai yang hanya mula cari rawatan apabila sudah berada di peringkat serius.
"Di sinilah muncullah stereotaip penyakit mental yang kita tengok dalam televisyen, orang yang alami skizofrenia dah tak boleh bekerja sedangkan ia tak benar," kata beliau ketika muncul dalam program Lebaran AWANI yang bersiaran pada Jumaat.
Pernah melalui kemurungan selepas bersalin, Sarimah menggesa orang ramai agar tidak takut dan malu untuk tampil meminta bantuan.
Tatkala golongan berpendapat rendah dan golongan B40 terbeban dengan masalah kewangan dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini, mereka masih boleh mendapatkan bantuan dan MIASA merupakan salah satu platform yang boleh didekati mereka.
"MIASA ada banyak pilihan sistem sokongan. Tak lama lagi kita akan adakan podcast di mana saya sendiri akan jadi hos bersama.
"Ssya harap ini akan lebih memberi pendedahan tentang MIASA dan khidmat yang kami tawarkan.
"Bunuh diri adalah penyebab kematian ketiga tertinggi di dunia selepas penyakit jantung dan kanser, jadi kita tak boleh ambil ringan lagi," ujarnya.
MIASA dibuka tujuh hari seminggu, dan mereka yang mahu mendapatkan khidmat nasihat boleh mengunjungi laman web, miasa.org.my dan media sosial mereka di @miasa.malaysia.
#Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental Malaysia #bunuh diri #penyakit mental #Sarimah Ibrahim #MIASA #Kemurungan
;