Penyakit jantung iskemik punca utama kematian
Sinar Harian
Januari 28, 2023 08:00 MYT
Januari 28, 2023 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan lelaki warga emas yang maut selepas dipukul rakannya menggunakan sebuah kerusi berpunca daripada penyakit jantung iskemik (ischaemic heart diseases).
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bagaimanapun siasatan berhubung kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).
"Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian disebabkan penyakit jantung iskemik susulan simptom asterosklerosis (keadaan yang dicirikan oleh arteri sempit).
"Bedah siasat ke atas mangsa telah dijalankan pada 27 Januari jam 3 petang oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Jumaat media melaporkan, seorang warga emas berusia 76 tahun maut akibat dipukul rakannya menggunakan sebuah kerusi plastik selepas mangsa menuntut hutang berjumlah RM250 dari suspek.
Pergaduhan itu berlaku sekitar jam 6.45 pagi dimana kedua-dua individu berkenaan saling berbalas pukulan sebelum dileraikan oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Selepas itu, mangsa berlalu pergi sebelum dilaporkan rebah tidak sedarkan diri kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Susulan itu, suspek seorang lelaki berusia 63 tahun ditahan semasa hadir membuat laporan berhubung pergaduhan terbabit di Balai Polis Kepong pada Jumaat. -Sinar Harian