Penutupan sementara operasi kilang, Top Glove akan beri kerjasama penuh

Astro Awani
November 23, 2020 12:47 MYT
Top Glove akan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 secara ketat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Top Glove akan memberi bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan penutupan sementera operasi beberapa kilangnya di Klang.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Top Glove memberitahu pihaknya telah menghentikan sementara 16 operasi kilang pengeluarannya sejak 18 November 2020.
Manakala, baki 12 lagi kilang beroperasi dengan kapasiti yang rendah.
“Dengan bimbingan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami telah melaksanakan pemeriksaan penuh terhadap 5,700 pekerja asrama kami.
"Kami sangat komited untuk meneruskan ujian saringan COVID-19, yang disyorkan KKM untuk keseimbangan pekerja dan kakitangan kilang kami di Meru, Klang,” ujar Top Glove.
BACA: Hanya 5,700 pekerja sahaja terlibat dalam PKPD di asrama Top Glove
Tambahnya, keselamatan dan kesejahteraan pekerja serta komuniti setempat merupakan keutamaan syarikat itu dalam memerangi COVID-19.
Antara lain, Top Glove juga akan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 secara ketat.
“Latihan disinfeksi akan diteruskan secara berkala di kilang dan asrama pekerja dengan semua langkah pencegahan yang ketat, “ katanya lagi.
BACA: 28 kilang Top Glove di Klang diarah tutup berperingkat
Terdahulu, kerajaan bersetuju agar 28 kilang berhampiran kilang Top Glove di Kapar, Selangor ditutup secara berperingkat susulan peningkatan kes positif COVID-19 di lokaliti berkenaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi membolehkan pekerja menjalani ujian saringan COVID-19 dan proses kuarantin.
#SOP #KKM #COVID-19 #kes positif #Klang #ujian saringan #Malaysia #Top Glove #Meru #Kementerian Kesihatan #ismail sabri yaakob