Penutupan sementara lorong, lencongan trafik di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu

Bernama
September 5, 2024 19:15 MYT
IJM Land berkata penutupan itu akan melibatkan laluan ke Bayan Lepas dari 9 hingga 11 Sept dan laluan ke George Town pada 12 Sept. - Gambar fail
GEORGE TOWN: IJM Land Berhad (IJM Land), pemaju The Light, telah mengumumkan bahawa akan ada penutupan sementara lorong dan lencongan trafik di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
IJM Land dalam kenyataan hari ini berkata penutupan itu akan melibatkan laluan ke Bayan Lepas dari 9 hingga 11 Sept dan laluan ke George Town pada 12 Sept.
"Penutupan ini perlu bagi memudahkan kerja-kerja infrastruktur untuk pelebaran jalan di lebuh raya dan pembinaan persimpangan bertingkat yang menghubungkan ke The Light Waterfront Pulau Pinang.
"Penambahbaikan pembangunan ini penting untuk menyokong kapasiti trafik dan meningkatkan ketersambungan rangkaian jalan raya," kata kenyataan itu.
Bagi menguruskan aliran trafik dengan lebih baik semasa penutupan lorong, pemaju akan melaksanakan pelan pengurusan trafik yang komprehensif sepanjang tempoh pembinaan serta membuat pelarasan jika boleh untuk mengurangkan kesan dari kerja dirancang.
Sebarang penutupan sementara lorong dan lencongan trafik akan dijadualkan pada luar waktu puncak, khususnya dari 10 malam hingga 5 pagi bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya, kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#IJM Land #Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu #penutupan #The Light Waterfront
;