Penutupan sementara laluan NKVE (Bukit Lanjan-Shah Alam) pada 13 Mac - PLUS

Dania Zainuddin
Mac 2, 2016 07:46 MYT
Laluan Bukit Lanjan-Shah Alam di NKVE dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada jam 10 pagi, selepas berakhirnya program Larian Amal tersebut. - Gambar Fail
Laluan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) antara Bukit Lanjan dan Shah Alam akan ditutup sementara pada 13 Mac ini bagi memberi laluan kepada acara Larian Amal dan Karnival oleh UEM Group.
Justeru PLUS Malaysia Berhad (PLUS), menasihati orang ramai untuk menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan sepanjang penutupan tersebut.
Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abdul Hamid, penutupan NKVE pada hari tersebut akan bermula pada jam 12:30 pagi hingga jam 10 pagi.
"Penutupan laluan membabitkan Persimpangan Bertingkat Subang, Persimpangan Bertingkat Damansara, Persimpang Bertingkat Kota Damasara serta sebahagian daripada Persimpangan Bertingkat Bukit Lanjan dan Shah Alam," kata Noorizah pada sesi taklimat media di Petaling Jaya pada Rabu.
Jelasnya, orang ramai dari arah Utara masih boleh terus ke Kuala Lumpur menerusi Plaza Tol Jalan Duta yang beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, pengguna dari arah Utara yang mahu ke Lebuhraya ELITE, KLIA, Seremban dan destinasi lain di Selatan perlu keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Persimpangan Rawang Selatan dan menggunakan Lebuhraya Guthrie sebelum memasuki Lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Shah Alam.
Sementara itu, bagi kenderaan dari arah Lebuhraya ELITE yang menghala ke utara, mereka perlu keluar di Plaza Tol Shah Alam sebelum menggunakan Lebuhraya Guthrie dan masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Persimpangan Rawang Selatan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi utara.
"PLUS akan bekerjasama dengan pihak Polis dan pihak lain termasuk anggota RELA, dan pasukan Paramedik dalam memastikan kelancaran acara larian dan trafik pada masa sama membantu orang ramai sepanjang tempoh penutupan tersebut," kata Noorizah.
Laluan Bukit Lanjan-Shah Alam di NKVE dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada jam 10 pagi, selepas berakhirnya program Larian Amal tersebut.
#Bukit Lanjan #Karnival UEM Group #larian amal #Lebuhraya Baru Lembah Klang #NKVE #PLUS #PLUS Malaysia Berhad #shah alam
;