Penutupan sementara jalan susur masuk Ebor-Shah Alam arah utara

Bernama
Ogos 5, 2020 04:30 MYT
Pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dan mengikut papan tanda serta arahan yang diberikan pihak PLUS ketika melalui jalan itu.
Jalan Susur Masuk Ebor ke Shah Alam di KM0 (Arah Utara) di Persimpangan Shah Alam, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) akan ditutup sementara kepada semua kenderaan selama lima hari bermula malam tadi.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan menjelaskan jalan itu akan ditutup bermula dari pukul 10 malam hingga 5.00 pagi setiap hari sehingga 9 Ogos ini bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan turapan berjadual untuk meningkatkan tahap keselamatan.
Kenyataan itu menjelaskan, pengguna lebuh raya dari EBOR/ELITE menghala ke Shah Alam/Bukit Jelutong dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dengan keluar dari lebuh raya menerusi Plaza Tol Setia Alam.
"Pengguna lebuh raya harus memasuki semula lebuh raya selepas membuat pusingan U di Plaza Tol Setia Alam dan menyambung perjalanan ke Shah Alam/Bukit Jelutong untuk perjalanan yang lebih lancar dalam tempoh tersebut," jelas kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dan mengikut papan tanda serta arahan yang diberikan pihak PLUS ketika melalui jalan itu.
Sementara itu, MMC-Gamuda dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan lorong secara berperingkat bermula 7 Ogos hingga 7 November di Jalan 1/18B, Taman Batu Permai, berdekatan Kondominium Permai Ria, untuk memberi laluan kepada kerja-kerja perparitan, menaik taraf jalan dan sebagainya.
Penutupan itu jelasnya melibatkan satu lorong di Jalan 3/18A (peringkat pertama) dan separuh lorong kedua-dua jalan arah Jalan Ipoh dan Jalan 3/18A (peringkat kedua), bagaimanapun ketika kedua-dua lorong itu ditutup, satu lorong akan dibuka untuk kenderaan setiap masa.
"Pemandu dinasihatkan mengikut arahan papan tanda lalu lintas dan penjaga bendera ketika penutupan jalan dilaksanakan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Ebor ke Shah Alam #ELITE #Jalan Susur Masuk #Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah #Persimpangan Shah Alam #PLUS
;