Penutupan sekolah tamparan hebat buat pengusaha bas pelajar
Abd Hadi Che Awang
November 12, 2020 06:00 MYT
November 12, 2020 06:00 MYT
ALOR SETAR: Susulan arahan penutupan sekolah di seluruh negara, oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan buat kali kedua sejak penutupan kali pertama pada pertengahan Mac, ianya dilihat banyak memberi kesan kepada banyak pihak terutama dari struktur pembangunan ekonomi.
Kesan daripada tindakan itu bukan sahaja dirasai pihak pengurusan dan pelajar malah memberi tamparan hebat buat pengusaha bas sekolah yang hilang punca pendapatan seharian mereka.
Bagi Zulkifli Omar, 67 tahun menjelaskan dia kini telah beralih kepada perusahaan santan segar demi kelangsungan hidup selain dapat menambah pendapatan dia dan isterinya.
Menurutnya, santan yang dijual kepada penduduk dan pengusaha kedai makan di sekitar Langgar, Hutan Kampung dan Alor Setar dilihat sebagai penyelamat dalam keadaan kegawatan ekonomi ketika ini.
Tambah Zulfikfli, dia sebelum ini terpaksa menjual sebuah bas miliknya akibat tidak mampu menanggung bayaran bagi kos untuk membaiki, bayaran insurans serta cukai jalan.
"Sejak COVID-19, sudah lapan bulan bas tak bergerak. Sekarang saya dan isteri usahakan perniagaan santan, hantar ke kedai makan.
"Saya terpaksa jual sebuah bas, simpan pun sudah tak guna. Ada sebuah lagi, itu pun rasa tak mampu juga nak bayar,” kata Zulkifli.
Susulan itu, dia berharap agar apa sahaja manfaat daripada Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu, dapat sampai kepada kumpulan yang disasarkan khususnya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Bantuan itu jelasnya sedikit sebanyak mampu dijadikan sebagai platform dalam memulihkan perusahaannya selain modal dalam mengkomersialkan jualan santan yang diusahakannya ketika ini.
Sementara itu, bagi isteri kepada Zulkifli, Sobehah Bakar, 62 tahun, menzahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku ketika ini memandangkan dia sebelum ini banyak bergantung kepada hasil pekerjaan suaminya.
Bagaimanapun, dia tetap bersyukur jualan santan yang diusahakan bersama suaminya mendapat sambutan daripada masyarakat setempat yang mana sedikit sebanyak membantu menjana pendapatan seharian mereka.
Sobehah berharap agar melalui Belanjawan 2021, manfaat yang akan diterima golongan sepertinya mampu menjadi satu permulaan yang baharu khususnya sebagai modal dalam meluaskan perusahaannya.
Terdahulu dalam satu kenyataan, Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin mengumumkan kesemua sekolah yang ditadbir Kementerian Pendidikan Malaysia KPM termasuk di negeri yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat akan ditutup mulai 9 November sehingga hari akhir persekolahan.
Ia merupakan penutupan kedua selepas kali pertama ketika pelaksanaan PKP pada Mac yang memaksa sekolah di seluruh negara ditutup.
Selain dari itu, tarikh bagi beberapa peperiksaan penting juga telah dipinda kepada 22 Februari bagi SPM, SVM dan STAM, manakala 8 Mac 2021 bagi STPM.
#pengusaha bas
#perintah kawalan pergerakan
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKP
#COVID-19
#Kementerian Pendidikan
#pendidikan
#peperiksaan
#pelajar
#sekolah