Penutupan jalan berperingkat sempena perayaan Masi Magam - PDRM
Bernama
Mac 11, 2025 22:51 MYT
Mac 11, 2025 22:51 MYT
Polis akan melaksanakan penutupan dan pembukaan jalan secara berperingkat di sekitar ibu kota bagi memastikan kelancaran Perayaan Tahunan Masi Magam yang berlangsung esok.
KUALA LUMPUR: Polis akan melaksanakan penutupan dan pembukaan jalan secara berperingkat di sekitar ibu kota bagi memastikan kelancaran Perayaan Tahunan Masi Magam yang berlangsung esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata sempena perayaan itu, dua kereta pedati akan berarak dari Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves ke Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee dan perarakan dijadual bermula pada 5 petang.
Perarakan akan melalui beberapa jalan utama termasuk Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Sri Batu Caves, Jalan 46/10, Jalan Sentul Pasar, Jalan Sentul, Jalan Tanah Lapang, Jalan Enam dan Jalan Sentul sebelum memasuki Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh), Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi dan Jalan Ampang.
Perarakan kemudian meneruskan perjalanan melalui Jalan Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Pudu, Jalan Tan Cheng Lock dan Jalan Sultan sebelum berakhir di Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S. Lee.
Mohd Zamzuri menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran serta keselamatan perarakan tersebut.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dikemukakan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA